ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menempelak Kerajaan Persekutuan yang sehingga kini belum memberi jawapan terhadap tuntutan insentif fiskal kepada Kedah bernilai RM200 juta kerana mempertahankan kawasan jelapang padi.
Menurutnya, perkara itu telah dititahkan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah secara berdepan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Anak Bukit sebelum ini.
Katanya, insentif itu merupakan timbal balik terhadap persetujuan kerajaan negeri mengekalkan 130,000 hektar kawasan penanaman padi dalam dan luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi membekalkan 43 peratus bekalan padi negara.
“Titah Yang di-Pertuan Agong digunakan untuk tubuh Kerajaan Perpaduan tetapi titah yang ini, tak ambil peduli pula. Titah yang itu dijadikan modal tetapi dalam hal ini, kenapa tak mahu pakai?
“Perkara ini telah dititahkan Sultan Kedah supaya kita teruskan permintaan tentang pengekalan kawasan sawah padi. Bagi kerajaan negeri, RM200 juta itu memang besar tetapi bagi Kerajaan Persekutuan pula, angka itu tak besar pun.
“Kalau tak tanam padi di Kedah, Kerajaan Persekutuan perlu import beras dan perbelanjaan diperlukan melebihi RM200 juta. Jadi, kita mintalah bayaran khas pengekalan sawah padi itu,” katanya dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang berakhir hari ini.
Sementara itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, kerajaan negeri akan membuat penilaian semula cukai tanah pada tahun depan sebelum ia mula dikuatkuasakan pada 2026.
Katanya, tindakan itu selaras dengan peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara Seksyen 101 yang membenarkan negeri-negeri membuat penilaian semula dalam tempoh setiap 10 tahun. – UTUSAN