ALOR SETAR: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam dimaklumkan usaha menjayakan projek penanaman padi lima kali dua tahun di negeri ini akan memfokuskan kepada menaik taraf infrastruktur sumber pengairan sebagai persediaan menghadapi musim kemarau.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab. Ghani berkata, peruntukan sebanyak RM1 bilion dalam Belanjawan 2025 negara merangkumi dua komponen iaitu Projek Pembangunan Sistem Pengairan Tersier ke atas 15 blok pengairan (Fasa l) dan Projek Pemulihan Empangan Pedu.
“Pelaksanaan projek ini dapat meningkatkan kecekapan pengurusan air pertanian di peringkat sawah dan bekalan air domestik serta industri bagi Kedah utara, Perlis serta sebahagian Pulau Pinang. Melalui pelaksanaan inisiatif ini, kecekapan pengurusan air untuk pertanian dapat dioptimumkan melalui peningkatan kepadatan infrastruktur di kawasan sawah padi.
“Pembangunan sistem pengairan tersier (parit) akan meningkatkan kepadatan infrastruktur daripada 18 meter sehektar kepada 30 meter sehektar yang seterusnya dapat menyokong penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di Kawasan Muda,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua DUN Kedah di sini semalam, bagi menjawab soalan lisan Bau Wong Bau Ek (PH-Sidam) berkaitan usaha kerajaan negeri untuk menjayakan projek penanaman padi lima kali dua tahun yang dikatakan mampu meningkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus.
Dzowahir berkata, usaha berterusan dalam bentuk penyelidikan perlu dilaksanakan bagi penemuan sumber air baharu untuk menghadapi situasi luar jangka seperti kemarau.
“Sumber air pengairan bagi tanaman padi di Kawasan Muda adalah turunan hujan sebanyak 43.4 peratus, bekalan empangan (40.7 peratus), aliran sungai (11.7 peratus) dan pam guna semula air (4.2 peratus).
“JPS Kedah sentiasa komited membantu pelaksanaan program ini berjaya dengan memastikan sistem pengairan di kawasan terlibat dalam keadaan baik dan sempurna. Penyelenggaraan berkala turut dilaksanakan bagi memastikan air sampai ke kawasan sawah tanpa halangan,” katanya.
Kerajaan negeri melalui JPS dan Jabatan Pertanian memulakan projek rintis penanaman padi lima kali dua tahun di daerah Kuala Muda pada 2023.