DUN Kelantan: PLSB Sungai Golok Fasa 1 alami kelewatan 707 hari

DUN Kelantan: PLSB Sungai Golok Fasa 1 alami kelewatan 707 hari

DR. Izani Husin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 mengalami kelewatan selama 707 hari dan tarikh siap baru pada 26 Julai 2026 berbanding asal 14 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, ia susulan pihak kontraktor memohon lanjutan masa pada November 2023 lalu.

Menurutnya, bagaimanapun ia diluluskan pada 30 Januari tahun ini dengan jumlah lanjutan masa selama 707 hari.

“Permohonan itu dibuat berikutan terdapat pertambahan lot-lot terlibat dengan pengambilan balik tanah. Ia disebabkan oleh perubahan jajaran jalan KESBAN (Jalan Keselamatan dan Pembangunan) daripada jenis R1 kepada R3.

“Proses tersebut masih berjalan sehingga kini. Kemajuan semasa PLSB Sungai Golok Fasa 3 adalah empat peratus selepas dimulakan pada 25 April lalu dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM461 juta. Ia dijangka siap pada 25 April 2029,” katanya semasa berucap pada penggulungan perbahasan Belanjawan Kelantan 2025 pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang menjawab persoalan dibangkitkan Ahmad Fathan Mahmood (Pas-Chempaka) dan Mohamad Nasriff Daud (Pas-Pengkalan Pasir) pada sesi perbahasan Belanjawan Kelantan 2025, semalam.

Mengulas lanjut, Izani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang memberitahu, PLSB Sungai Golok Fasa 2 pula masih di peringkat Lembaga Perolehan bagi Pra-Kelayakan Tender di peringkat kementerian.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pada tahun ini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan Pelan Induk Sistem Saliran Mesra (Pisma) bagi jajahan Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas melalui Pelan Mitigasi Banjir.

“Pelan ini diteruskan bagi tahun hadapan yang akan melibatkan jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Bachok, Jeli dan Tumpat. PISMA boleh dijadikan sebagai rujukan utama dalam menyediakan pelan saliran yang lebih berkesan bagi mengawal banjir secara lokaliti.

“JPS juga sedang menyediakan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) yang bertujuan menyediakan pelan-pelan penstrukturan dan baik pulih sungai, sumber air dan mitigasi banjir serta peranan-peranan agensi kerajaan lain dalam pengurusan lembangan sungai tersebut,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya