ALOR SETAR: Ada dakwaan guru-guru di negeri ini diugut ditukarkan ke lokasi lain sekiranya meeka membenarkan penglibatan Exco dan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) terlibat dalam kegiatan sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri, Datuk Mohd. Azam Abd. Samat mendakwa wujud budaya menakut-nakutkan pentadbir dan guru berhubung perkara itu.
Menurutnya, perkara itu tidak adil kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) sebaliknya dibenarkan untuk memasuki sekolah sebelum ini.
“Sekarang kalau nak masuk sekolah memang tak boleh, jawapan diberikan pula menyakitkan hati. Kononnya sekolah itu tidak ikut peraturan, tak cukup tempoh permohonan 30 hari untuk mohon kebenaran dan sebagainya.
“Seolah-olah pentadbir sekolah tak reti nak buat kertas kerja atau sekadar satu dua muka surat jemputan. Tindakan ini macam menghalang guru-guru serta pentadbir menjadi lebih kreatif serta kompeten untuk bersama wakil rakyat setempat.
“Timbul budaya menakut-nakutkan dan saya difahamkan, ada bahagian buat ugutan konon nak buat pertukaran dan sebagainya. Peraturan itu kita sedar tetapi harapnya mereka tidak diugut atau diberikan apa-apa halangan kalau Yang Berhormat masuk untuk bincang atau sampaikan sumbangan kepada sekolah,” katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Tambahnya, sebelum ini ADUN-ADUN pembangkang biasa dijemput ke sekolah malah jemputan itu turut melibatkan pemimpin dalam kalangan UMNO serta parti sekutu PH yang lain. – UTUSAN