PEKAN: Dua maut dalam kejadian kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 3, Jalan Pekan-Kuantan di sini hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia, seorang peniaga, Azuwan Zainal Abidin, 35 dan seorang warga emas, Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah, 71.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 11.05 pagi ketika pacuan empat roda Mitsubishi Triton dipandu Azuwan dari arah Pekan menghala Kuantan dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
Katanya, Mitsubishi Triton itu kemudiaannya bertembung dua buah kenderaan dari arah Kuantan menuju ke Pekan iaitu Proton Saga dipandu Raja Mustafa Shah dan Toyota Avanza dipandu Mohamed Aiman Ahmad Hamizi, 26.
“Oleh kerana jarak yang terlalu dekat, pemandu Toyota Avanza tidak sempat mengelak dan telah melanggar bahagian belakang Proton Saga.
“Akibat dari kemalangan tersebut, pemandu Toyota Avanza tidak mengalami kecederaan manakala pemandu Mitsubishi Triton dan Proton Saga meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan,” katanya di sini hari ini.
Tambah Mohd. Zaidi, kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN