KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM6,792 dalam serbuan berasingan di ibu negara baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang memandu Perodua Bezza di tepi Jalan Dewan Bahasa di sini, kira-kira pukul 5 pagi, Isnin lalu.
Beliau berkata, hasil pemerikasaan menemukan dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan ketamin anggaran berat 658.2 gram.
“Hasil soal siasat mendapati suspek terlibat secara langsung dalam kegiatan pengedaran dadah jenis MDMA sejak pertengahan tahun ini kepada pengunjung pusat hiburan sekitar Lembah Klang.
“Kita telah merampas kereta Perodua Bezza dan sebuah telefon bimbit jenis iPhone dipercayai digunakan untuk pengedaran dadah kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sulizmie Affendy berkata, dalam serbuan kedua, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 48 tahun di tepi jalan Tun Tan Siew Sin pada 11.50 malam, kelmarin.
“Hasil pemeriksaan, kita turut merampas dadah jenis heroin anggaran berat 26.10 gram. Kita percaya suspek bergiat aktif dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah dalam skala kecil di Jalan Petaling, di sini,” katanya.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah.
“Semakan rekod mendapati salah seorang suspek mempunyai 20 rekod lampau atas pelbagai kesalahan dadah dan jenayah,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seksyen 15(1)(A) akta yang sama.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.- UTUSAN