RANTAU PANJANG: Dua lelaki yang dipercayai pengedar dadah tidak sempat mengedarkan lebih 3.1 kilogram (kg) syabu apabila dicekup anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Banggol Kong, Jeram Perdah di sini semalam.
Kedua-dua suspek ditahan pada pukul 11.30 selepas anggota PGA yang bertugas menerusi Op Taring Wawasan Kelantan mengesan sebuah kereta jenis Volkswagen dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai dadah jenis syabu di bahagian boot kereta.
“Pemeriksaan lanjut mendapati berat dadah tersebut lebih 3.1 kg. Nilai rampasan syabu itu dianggarkan berjumlah RM99,200.
“Selain itu, kita turut merampas empat unit telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM 8,000 dan wang tunai RM 36,15,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kedua-dua suspek yang ditahan itu berusia 36 dan 44 tahun.
Katanya, saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis Meth.
“Kes disiasat dibawah Sek 39B dan Sek 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek telah dibawa kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas Kelantan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN