TAMPIN: Dua beranak maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipandu seorang remaja dalam nahas di Kilometer 12, Jalan Tampin-Gemas, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa merupakan ibu berusia 72 tahun dan anak lelakinya berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian.
Menurutnya, berdasarkan siasatan kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Savvy yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dan motosikal jenis Demak dinaiki kedua-dua mangsa.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu kereta iaitu seorang mekanik dalam perjalanan dari Pulau Sebang mahu ke Palong. Dua beranak itu pula dalam perjalanan dari Gemencheh dan ingin pulang ke rumah di Pulau Sebang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, di jalan selekoh, pemandu kereta telah gagal mengawal lalu lalu termasuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal dinaiki dua beranak tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Ujar Amiruddien lagi, mayat kedua beranak berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin bagi proses bedah siasat hari ini.