SEREMBAN: Dua beradik merupakan antara 170 siswazah yang menerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan 2024.
Siti Nurhaziqah Hamid, 27, dan adiknya, Siti Nurfahana, 25, yang merupakan lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) masing-masing menerima wang tunai RM5,000.
Siti Nurhaziqah berkata, anugerah dan keputusan cemerlang itu adalah hasil pengorbanan dan usaha mereka selama ini.
“Saya dan adik pertama kali terima insentif seumpama ini. Terima kasih atas pengiktirafan diberikan yang saya anggap sesuatu sangat berharga,” katanya yang kini bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta.
Menurut Siti Nurfahana pula, dia kini bersedia untuk melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD).
“Saya akui memang sukar untuk belajar sambil bekerja tapi kita kena pandai bahagikan masa dan semua itu berbalik pada diri kita sendiri.
“Saya percaya dengan menuntut ilmu mampu meningkatkan tahap penguasaan akademik seseorang dan dalam masa sama dapat melakar lebih banyak kejayaan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan Siri Keempat 2024 di sini, semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyampaikan anugerah berkenaan menjelaskan, kerajaan negeri melalui Yayasan Negeri Sembilan (YNS) memperuntukkan sebanyak RM850,000 kepada siswazah cemerlang untuk siri kali ini.
“Setakat siri keempat tahun ini, seramai 618 siswazah menerima anugerah ini dengan dana yang telah dilulus dan dianugerahkan oleh YNS mencecah lebih RM3 juta.
“Angka-angka ini jelas menunjukkan peningkatan siswazah Negeri Sembilan yang cemerlang telah dilahirkan dari institusi pendidikan tinggi setiap tahun sekali gus menggambarkan kualiti dan kompetensi sumber manusia anak-anak Negeri Sembilan yang bakal memberikan manfaat kepada masa depan negeri dan negara,” katanya. – UTUSAN