BACHOK: Dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bachok berdepan detik cemas selepas trak pikap yang dinaiki mereka terbabas semasa dalam perjalanan melaksanakan operasi menyelamat mangsa banjir di Bukit Temalong, Gunong di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.40 tengah hari itu, kedua-dua anggota itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius selepas berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak keluar dari trak pikap tersebut.
Pegawai Pertahanan Awam Bachok, Leftenan (PA) Mohd Khairi Mat Hussin berkata, semasa kejadian kedua-dua anggota itu dalam perjalanan menuju ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Pak Badol, Mahligai.
Menurutnya, permukaan jalan yang licin, serta bertakung air dan hujan lebat menjadi faktor trak pikap itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas
“Terima kasih kepada anggota polis serta jengkaut dari Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang membantu pihak kami.
“Syukur Alhamdulillah, kebetulan semasa kejadian jengkaut itu melalui kawasan tersebut dan terus membantu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum itu video tersebut tular selepas APM Kelantan memuat naik rakaman kejadian yang telah menyentuh hati pengguna laman sosial.-UTUSAN