Doa isteri agar jasad suami ditemukan termakbul - Utusan Malaysia

Doa isteri agar jasad suami ditemukan termakbul

PASUKAN penyelamat membawa naik mayat guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor yang ditemukan lemas di Jeti baharu Chenor di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Doa seorang isteri agar jasad suaminya yang lemas ketika memancing di rumah rakit jeti Chenor di sini kelmarin termakbul apabila mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 12.45 tengah hari hari ini.

Nooradiwati Mohamed, 54, bersama-sama empat anaknya setia berada di jeti baharu Chenor di sini sejak tragedi kehilangan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor itu, Ahad lalu.

Mangsa, Murdani Ab. Rahman, 53, yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum disedari terjatuh ke dalam Sungai Pahang kira-kira pukul 6 petang ketika memancing bersama rakannya.

Nooradiwati yang merupakan guru kanan di Sekolah Kebangsaan (SK) (LKTP) Jengka 1 berkata, dia reda dan lega apabila penantian dia serta anak-anak supaya jasad suaminya ditemukan dimakbulkan Allah SWT.

“Syukur alhamdulillah, Allah SWT telah memakbulkan doa dan hajat kami sekeluarga untuk menemukan jasad suami dan ayah yang penyayang.

“Saya mengucapkan penghargaan kepada semua pasukan penyelamat yang bertungkus lumus sejak Ahad lalu. Kami juga menjunjung kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan berangkat ke Pusat Gerakan Operasi di Chenor. Kami sangat terharu dengan keprihatinan Tuanku,” katanya ketika ditemui di jeti Chenor di sini.

Murdani disedari terjatuh ke dalam sungai kira-kira pukul 6 petang, Ahad lalu sebelum dibawa arus.

Mayat mangsa ditemukan tersangkut pada jaring sangkar kira-kira 300 meter dari rumah rakit di Jeti Chenor kira-kira pukul 12:45 tengah hari hari ini.

Ketua Polis Maran, Superintendan Wong Kim Wai, mengesahkan pertemuan mayat guru terbabit.

“Pengecaman sudah pun dapat disahkan oleh keluarga di jeti baharu Chenor,” katanya ketika dihubungi di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN