PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara perlu memberi penjelasan berhubung kegagalan menyahklasifikasi dan penyerahan dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dalam satu kenyataan berkata, pihak pendakwaan mempunyai enam tahun untuk penyerahan dokumen berkaitan perbicaraan kepada pasukan pembelaan sedangkan pertuduhan difailkan sejak tahun 2018.
Katanya, kegagalan tersebut menimbulkan banyak persoalan berhubung tanggungjawab Jabatan Peguam Negara dalam melaksanakan tugasnya.
“Adakah Jabatan Peguam Negara tiada kuasa mencukupi untuk memastikan kerjasama antara agensi bagi tujuan pendakwaan? Adakah ini menunjukkan kelemahan besar dalam sistem keadilan Malaysia?
“Jika kerajaan serius mengenai usaha antirasuah yang memberikan impak, mereka perlu segera menjawab bagaimana Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) boleh menutup pendakwaan bagi rasuah sektor awam.” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Najib dan Mohd. Irwan dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada enam tuduhan pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion.
Dalam pada itu C4 turut menggesa kerajaan meminda OSA bagi memansuhkan kuasa mengklasifikasikan dokumen sebagai rahsia rasmi yang kini diberikan kepada menteri, ketua menteri atau pegawai awam.
“Jika kerajaan serius mengenai usaha antirasuah, perlu segera menangani bagaimana Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) boleh menutup pendakwaan rasuah dalam sektor awam.” jelasnya.- UTUSAN