Diarah kosongkan tanah, 400 pekebun kecil hilang pendapatan

Diarah kosongkan tanah, 400 pekebun kecil hilang pendapatan

HISHAMUDDIN Hashim (tengah) ketika bercakap pada sidang media mengenai keluarga pekebun kecil yang diarahkan keluar dari tanah yang diteroka di Megan Avenue, Jalan Tun Razak di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 400 keluarga pekebun kecil di Sri Iskandar, Perak hilang punca pendapatan apabila mereka diarah mengosongkan tanah seluas 3,000 ekar yang sudah diusahakan sejak 2006.

Setiausaha Agung, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, arahan pengosongan itu mengakibatkan tanaman sawit mereka dimusnahkan sekali gus menjejaskan punca pendapatan utama keluarga terlibat.

Beliau berkata, pengosongan itu didakwa berlandaskan satu perjanjian ditandatangani oleh pihak koperasi bumiputera dengan pihak pemaju.

“Perjanjian itu tidak sah kerana pihak tersebut bertindak atas tujuan peribadi tanpa persetujuan Ahli Lembaga Koperasi dan turut melanggar peraturan di dalam koperasi.

“Pihak pekebun kecil sudah menghantar notis kepada syarikat pemaju yang menyatakan perjanjian itu tidak sah namun bantahan mereka tidak diendahkan dan syarikat pemaju tetap terus memusnahkan tanaman sawit yang diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, syarikat pemaju tersebut didakwa memasukkan wang sebanyak RM4 juta ke dalam akaun koperasi, namun ahli tidak dimaklumkan mengenai penggunaan wang tersebut.

Kata beliau, wang tersebut dianggap sebagai bayaran kepada lebih 400 keluarga pekebun kecil iaitu sekitar RM6,000 setiap keluarga yang tidak memadai untuk mereka memulakan kehidupan atau pertanian baharu di tempat lain.

“Walaupun tanah ini dimiliki kerajaan negeri dan diperuntukkan untuk tujuan industri, kami percaya terdapat keperluan untuk mempertimbangkan prinsip keadilan dan doktrin undang-undang.

“Pekebun-pekebun ini merupakan peneroka awal yang mengusahakan tanah tersebut selama bertahun-tahun. Hak mereka sebagai penduduk asal tidak boleh diabaikan begitu sahaja,” katanya.

Tambahnya, satu daripada syarat yang ditetapkan ketika geran diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) adalah keperluan untuk mengadakan perbincangan secara berhemah dengan pekebun kecil.

“Tindakan memusnahkan tanaman tanpa rundingan jelas bertentangan merupakan satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan penindasan kepada golongan B40.

“Kami berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan kami agar pekebun ini diberi tempoh masa untuk mengutip hasil tanaman mereka sebelum tanah tersebut diambil alih,” jelasnya.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, kerajaan perlu menyediakan tanah ganti lebih awal supaya pekebun dapat memulakan semula aktiviti pertanian mereka.

Katanya, ini bagi memastikan mereka mempunyai pendapatan untuk meneruskan kehidupan ketika proses pengosongan tanah berlaku.

“Jika kita fikirkan semula, proses menanam kelapa sawit mengambil masa empat tahun sebelum hasil dapat dituai. Jadi, apa akan terjadi kepada pendapatan mereka dalam tempoh tersebut?

“Pekebun ini bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negara melalui jualan hasil sawit, tetapi membayar cukai kepada kerajaan. Jadi, isu ini perlu dipertimbangkan dari sudut kemanusiaan,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Koperasi Sungai Tumboh Berhad, Ab Malek Md Daud berkata, kerajaan negeri sebelum ini menyarankan sebarang perbincangan mengenai pengosongan tanah dilakukan secara berhemah dan melibatkan semua pihak berkepentingan.

“Nasib kami kini tergantung. Tanah ini adalah satu-satunya sumber pendapatan kami. Kami berharap kerajaan negeri dapat membantu dan bukan hanya memikirkan keuntungan ekonomi, tetapi melihat aspek kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya