JOHOR BAHRU: Ibu kepada tiga anak, Noor Suraya Saidin, 39, pasrah dengan nasib menimpa anak bongsunya, Noor Qaira Danisah Mohd. Idzwan, 13, yang berterusan diserang sawan setiap hari sejak dilahirkan.
Menurut Noor Suraya, anak perempuannya itu mengalami penyakit rett syndrome iaitu penyakit genetik jarang berlaku yang menjejaskan perkembangan otak, mengakibatkan kecacatan kognitif dan fizikal serius sehingga menyebabkan Noor Qaira Danisah mengalami sawan berulang setiap hari dan memerlukan pemerhatian 24 jam.
“Sejak lahir, Noor Qaira mengalami sawan disebabkan ketika dalam kandungan, dia kekurangan oksigen dan lemas. Keadaan itu menyebabkan dia umpama bayi, hanya mampu baring tanpa boleh menggerakkan anggotanya.
“Keadaan itu juga menyebabkan tulang belakangnya semakin membengkok. Sejak lahir hingga kini, dia akan diserang sawan hampir 10 kali sehari walaupun telah diberikan ubat,” katanya ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Uda Utama, di sini.
Noor Suraya mengakui memang sukar dan memerlukan kesabaran tinggi untuk menjaga Noor Qaira yang pergerakannya agak terhad dan perlu dibantu.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 151548280460 atau menghubungi Noor Suraya menerusi talian 011-37373902.