SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyerahkan kepada polis dan lembaga siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kematian seorang mahasiswa juga pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang didakwa meninggal dunia pada 13 November.
Universiti itu dalam kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatannya.
“UiTM komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan setiap pelajarnya sentiasa diutamakan. Sehubungan itu, universiti juga mengambil langkah proaktif untuk meneliti semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan dan mekanisme pemantauan berkaitan dengan aktiviti kokurikulum badan beruniform.
“Pengurusan universiti berasa amat sedih atas kejadian itu dan memberi jaminan penuh untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan terhadap kes ini,” katanya, hari ini.
Terdahulu, seorang pegawai kadet Palapes UiTM, Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi, dilaporkan meninggal dunia dipercayai selepas menjalani sesi latihan memenatkan dan tidak berjadual selain penderaan secara fizikal.
Malah, dia juga dipijak di bahagian dada serta dipaksa melakukan pelbagai aksi seperti haiwan oleh jurulatihnya.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilaporkan sedang menunggu laporan kes tersebut daripada UiTM sebelum tindakan selanjutnya diambil. – UTUSAN