Dedah siapa pemimpin Nafas tidak guna itu

Dedah siapa pemimpin Nafas tidak guna itu

Mohd. Shazwan Suban
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu digesa mendedahkan siapakah pemimpin terlibat yang mengundang kepincangan dalam urus tadbir Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, hal demikian penting kerana ia melibatkan duit rakyat yang disalah guna selain memberi kesan kepada petani sebelum ini.

Dalam masa sama, beliau juga berharap, kepemimpinan Nafas selepas ini tidak lagi melibatkan orang politik sebaliknya melantik individu yang benar-benar layak.

“Kalau boleh kita minta menteri (Mohamad Sabu) dedah siapa pemimpin di dalam Nafas sebelum ini yang menyebabkan kepincangan di dalam pertubuhan itu khususnya membabitkan isu pembekalan baja.

“Dedah siapa pemimpin itu dan selepas ini tidak perlu lagi lantik orang politik, ambil mereka yang cerdik pandai dalam bidang ini. Bagi orang politik pegang boleh merosakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, reformasi tatakelola dalam Nafas tiada kaitan dengan politik kononnya Parti Amanah Negara (Amanah) mahu menyingkirkan UMNO daripada pertubuhan tersebut.

Mohamad Sabu dilaporkan berkata, beliau sendiri pergi berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung tindakan terhadap Nafas.

Kata Mohamad, Ahmad Zahid menyokong tindakan tersebut dan malah menamakan beberapa individu di dalam pertubuhan tersebut.

“Sebelum hendak bertindak terhadap Nafas ini, saya jumpa dulu Datuk Seri Zahid Hamidi. Saya tahu isu yang akan dimainkan kononnya Amanah akan mengambil alih Nafas dan membuang UMNO. Saya jumpa Datuk Seri Zahid Hamidi dan saya kata, Datuk Seri, Nafas yang kita bertindak ini tiada kena mengena dengan politik. Dia kata, Pak Mat saya sokong penuh. Dia pula namakan pemimpin Nafas yang tak guna itu,” katanya semasa berucap dalam konvensyen Amanah Perak.

Bermula 1 November lalu, Perlembagaan Nafas digantung susulan dakwaan berkaitan kepincangan urus tadbirnya sehingga mengundang siasatan oleh pihak berkuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan, siasatan terhadap Nafas berhubung dakwaan penglibatan kartel dalam pengedaran dan pembekalan kontrak baja padi perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Mohd. Shazwan berkata, Nafas boleh menjadi pertubuhan yang berkesan dalam membantu petani jika ditadbir oleh mereka yang benar-benar layak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN