Dataran Kampung Bantal dilimpahi banjir, air Sungai Tembeling makin meningkat - Utusan Malaysia

Dataran Kampung Bantal dilimpahi banjir, air Sungai Tembeling makin meningkat

AIR Sungai Tembeling sudah melimpah masuk ke dataran perniagaan lebih satu meter di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. - FOTO/PENDUDUK KAMPUNG BANTAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Tanda awal banjir mula melanda daerah ini apabila air Sungai Tembeling dilaporkan sudah melimpah ke kawasan dataran perniagaan Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini hari ini.

Menurut sumber penduduk kampung, air melimpah sepenuhnya ke kawasan itu kira-kira pukul 5.45 petang hari ini dan alat penyukat air Jabatan Pengairan Saliran (JPS) mencatat paras 101.16 meter menghampiri paras amaran, iaitu 104 meter berasaskan portal Laman Web Rasmi Public Info Banjir jabatan tersebut.

Kebanyakan pemilik premis kedai kopi dan makanan sudah menutup operasi dan berkemas meletakkan peralatan berniaga ke tempat tinggi kerana dimasuki air kecuali beberapa buah premis dan kediaman penduduk di pesisir sungai itu telah dipasang tong pelampung.

Turut tenggelam laluan jalan simen dari Kampung Sepia ke Kampung Bantal termasuk di sekitar dataran perniagaan di kawasan tersebut.

Namun tidak ada pemindahan mangsa kerana kediaman penduduk terletak di kawasan tinggi berdekatan dataran itu, manakala bagi mereka yang tinggal di pesisir sungai itu selamat kerana kediaman dipasang tong pelampung dan ditambat dengan tali besi pada pokok besar.

Penduduk Kampung Bantal dan Kampung Sepia setiap tahun akan berdepan bencana itu kerana hujan lebat di kawasan ulu lagipun faktor peningkatan paras air Sungai Dungun, Terengganu yang bersempadankan Ulu Tembeling di sini juga dikira faktor air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia naik dengan pantas.

Penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid berkata, air Sungai Tembeling mula melimpah masuk ke dataran perniagaan kira-kira pada pukul 4 petang hari ini kerana hujan lebat turun sejak kelmarin di kawasan ulu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia.

“Hal ini sinonim bagi penduduk di pesisir sungai ini khususnya di Kampung Bantal dan Kampung Sepia sudah menjangkakan air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia naik setiap kali penghujung tahun ketika Monsun Timur Laut (MTL).

“Kita sudah mengambil sikap berjaga-jaga kemungkinan air akan naik ke paras bahaya jika hujan masih turun lebat di kawasan ulu sungai,” katanya di sini hari ini.

Menurut Jamizan, air Sungai Tembeling sudah membanjiri kawasan dataran Kampung Bantal namun pemilik kedai makanan, kedai runcit dan beberapa premis sudahpun memindahkan peralatan penting serta barang perniagaan ke tempat tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kemungkinan kawasan dataran kampung ini akan dilimpahi air Sungai Tembeling pada sebelah malam ini berikutan hujan masih turun sehingga ini dan arus semakin deras,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN