ALOR SETAR: Pemuda UMNO Kedah berpandangan DAP harus memberi laluan kepada parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya berhasrat merampas negeri itu daripada Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pemuda UMNO Pokok Sena, Mohd. Farhan Ahmad berkata, senario politik di Kedah memerlukan pendekatan yang sedikit berbeza antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, kerjasama antara kedua-dua gabungan besar yang sedia terjalin di Kedah itu boleh diteruskan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
“Tapi harus dikaji dari segi bagaimana dan kalau boleh berbeza sedikit, bagi saya kena ada autonominya. Contohnya, mungkin DAP tidak perlu bertanding di Kedah atau pun dua kerusi yang parti itu ada kita beri peluang mereka tambah kerusi di Pulau Pinang. Maknanya hanya Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan UMNO sahaja yang bertanding di Kedah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Mohd. Farhan mengulas kenyataan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub bahawa UMNO tidak mampu memerintah sebagai parti solo dan situasi itu akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Kedah memiliki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tunggal daripada DAP iaitu Teh Swee Leong (Kota Darul Aman) bagi penggal ini, manakala dua lagi kerusi pembangkang disumbang PKR berbanding baki 30 kerusi lagi dikuasai PN.
Kelmarin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Zaid Ibrahim berkata, UMNO perlu mempertimbang semula kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan jika berhasrat menjadi ‘bos’ di Malaysia, malah turut menyifatkan parti tu merupakan ‘isteri ketiga’ dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Farhan, dalam keadaan sekarang UMNO harus kekal berada dalam saf Kerajaan Perpaduan bagi membantu memperkukuh kedudukan dan membantu negara berada dalam keadaan lebih baik berdasarkan pengalaman dimiliki selama puluhan tahun.
“Kita harus fikir ke hadapan, kita berada dalam satu penggal pemerintahan. Bagi saya, apa yang kepimpinan UMNO dalam kerajaan perlu buat adalah terus berusaha gigih, fokus dan buat dasar yang disukai rakyat serta tunjuk yang kita ada kelebihan untuk bekerja,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd. Raqib Abu Hassan berkata, UMNO negeri sememangnya memerlukan rakan kongsi seperti sekarang iaitu bersama dengan PH bagi menubuhkan kerajaan.
“Buat masa ini, BN masih tidak mampu untuk memenangi hati pengundi Cina dan India. Bagi pengundi Melayu pula, mereka sudah kembali beri kepercayaan kepada kita apabila dua PRK telah kita lihat iaitu undi anak muda dan pengundi Melayu kembali bersama BN.
“Bagaimanapun buat masa ini, gabungan BN-PH perlu lebih bekerja kuat dalam memenangi hati setiap pengundi selain kerajaan harus menunjukkan satu impak yang besar tentang hala tuju mereka kepada segenap masyarakat agar mereka selesa dengan kerajaan hari ini,” katanya. – UTUSAN