Dakwaan projek Rumah Pahang gagal, terbengkalai fitnah, KDMI buat laporan polis terhadap ADUN Kuala Sentul - Utusan Malaysia

Dakwaan projek Rumah Pahang gagal, terbengkalai fitnah, KDMI buat laporan polis terhadap ADUN Kuala Sentul

AZJURIYAHTI Azlan membuat laporan polis terhadap Jasri Jamaluddin di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur kerana mendakwa KMDI gagal menyiapkan 10 projek Rumah Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dakwaan 10 projek Rumah Pahang gagal dan terbengkalai tidak benar kerana ia berjalan sebagaimana persetujuan ditandatangani dengan kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).

Pengarah Urusan KMDI Holdings Sdn. Bhd., Datuk Azjuriyahti Azlan berkata, dakwaan tersebut merupakan fitnah dengan niat jahat demi kepentingan politik pembangkang di negeri ini.

“Dua projek di Sungai Retang dan Jengka 11 sedang dalam proses pembinaan dan penyiapan yang sudah pun mencapai 80 peratus siap dan dijangka diserahmilik kepada pembeli pada suku pertama tahun 2025 nanti.

“Sebagai mana dipersetujui bersama dengan kerajaan negeri Pahang, 10 projek ini akan dibina secara berperingkat dan akan diserah milik kepada pembeli sebelum akhir 2026 untuk kesemua 10 projek,” katanya dalam kenyataan di sini.

PROJEK Rumah Pahang di Felda Jengka 11 sedang dalam proses pembinaan dan penyiapan yang sudah pun mencapai 80 peratus siap dan dijangka diserahmilik kepada pembeli pada suku pertama 2025.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin dalam sidang akhbarnya menggesa kerajaan negeri menyelesaikan permasalahan dihadapi oleh kontraktor Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan KMDI dengan kadar segera.

Jasri dilaporkan berkata, KMDI yang merupakan syarikat usahasama dengan kerajaan Pahang itu tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik selaku pemaju sehingga menyebabkan kontraktor dilantik menghadapi kerugian sehingga RM30 juta keseluruhan.

Mengulas lanjut, Azjuriyahti berkata, dakwaan Jasri yang menyebut KMDI tidak membuat apa-apa bayaran kepada kontraktor terlibat dengan pembinaan Rumah Pahang adalah tidak benar.

“Kes ini sudah dibawa ke mahkamah sebelum ini dan menunggu tarikh perbicaraan. KMDI telah menyaman syarikat-syarikat kontraktor terbabit kerana menghentikan kerja-kerja pembinaan dan meninggalkan tapak serta tidak mematuhi syarat-syarat dalam surat setuju terima yang telah ditandatangan bersama sebelum syarikat-syarikat ini memulakan kerja-kerja mereka.

“Syarikat-syarikat terbabit juga telah melakukan tuntutan palsu yang tidak disahkan oleh mana-mana perunding bertauliah sebagai mana sepatutnya untuk mereka membuat sesuatu tuntutan terhadap kerja-kerja yang telah pun mereka lakukan,” jelasnya.

Menurutnya, berkenaan dakwaan KMDI tidak memulangkan kembali wang jaminan yang dibayar oleh syarikat-syarikat kontraktor juga tidak berasas dan memperlihatkan ADUN Kuala Sentul tidak faham dengan apa yang diperkatakannya.

“Wang Jaminan hanya akan dikembalikan kepada syarikat-syarikat berkenaan setelah semua kerja yang sepatutnya mereka buat siap sepenuhnya. Dalam kes ini, disebabkan mereka gagal dalam mematuhi syarat-syarat surat setuju terima dan meninggalkan tapak-tapak projek tanpa menyiapkan kerja yang sepatutnya, wang jaminan yang dibayar akan diputuskan sama ada mereka berhak menerimanya atau sebaliknya.

“Untuk mendapatkan kembali wang jaminan dan bayaran terhadap kerja-kerja yang telah dilakukan sebelum ini, perlu diserahkan kepada keputusan yang akan dibuat mahkamah nanti,” katanya.

Menurutnya, KMDI mengalami kerugian ekoran kegagalan syarikat-syarikat yang disebut ADUN Kuala Sentul menerus dan meninggalkan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan sebagai mana dipersetujui dalam surat setuju terima.

Beliau berkata, KMDI bersedia menerima apa-apa sahaja keputusan yang bakal dibuat mahkamah setelah kes ini selesai dibicara dan diadili.

“ADUN Kuala Sentul juga telah membuat hasutan kepada bakal-bakal pembeli untuk tidak menerima tawaran kerajaan negeri yang menawarkan tawaran pembelian unit rumah yang dibina. Perkara ini dilihat akan menyebabkan KMDI mengalami kerugian dan nama baik kerajaan negeri Pahang tercemar,” dakwanya.

Sehubungan itu katanya, selain laporan polis terhadap ADUN Kuala Sentul, peguam KMDI juga akan menghantar surat saman kepada wakil rakyat berkenaan dalam masa terdekat kerana membuat fitnah dan hasutan serta tidak menghormati proses mahkamah yang sedang berjalan ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN