PETALING JAYA: Malaysia terus bergantung kepada negara luar bagi memenuhi permintaan terhadap makanan terutama daging kambing, beras dan sayur-sayuran dengan direkodkan meningkat dua kali ganda daripada RM38.8 bilion pada 2013 kepada RM78.7 bilion pada 2023.
Berdasarkan Tinjauan Ekonomi dikeluarkan pada 2023, daging kambing menunjukkan nisbah kebergantungan import (IDR) tertinggi iaitu 89.6 peratus pada 2023 dengan pengeluaran domestik hanya sebanyak 4,368 tan berbanding import mencapai 36,852 tan.
Selain itu, pengeluaran beras berkurangan daripada 1.6 juta tan pada 2022 kepada 1.4 juta tan pada 2023 manakala import makanan rutin melonjak kepada 1.3 juta tan. Malah Jabatan Perangkaan Malaysia tahun lalu, melaporkan lapan produk makanan pertanian seperti halia, cili dan kobis bulat turut mencatatkan kebergantungan import yang tinggi iaitu melebihi 50 peratus.
Menurut data Tinjauan Ekonomi 2025, perkembangan berkenaan menimbulkan cabaran kepada keterjaminan makanan Malaysia terdedah kepada risiko pasaran global dan menyukarkan usaha mencapai sasaran kadar sara diri (SSR) akibat faktor sistem pengairan tidak sempurna, pembandaran pesat dan amalan pertanian tidak mampan sekali gus menyebabkan degradasi tanah.
Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Anjas Asmara@Ab. Hadi Samsudin berkata, peningkatan nilai import disebabkan permintaan kepada produk-produk yang tidak dapat dihasilkan dalam negara seperti gandum untuk makanan manusia manakala jagung dan kacang soya untuk makanan ternakan.
Menurut beliau, bagi memenuhi keperluan dalam negara kerajaan juga terpaksa mengimport beberapa komoditi makanan lain bagi mencukupkan permintaan domestik.
“Sebagai contoh, negara megimport sebahagian besar sumber beras dan daging merah dari negara luar seperti India. Kadar sara diri bagi penghasilan beras dalam negara berkisar sekitar 56-57 peratus manakala pengeluaran daging dalam negara masih di bawah 20 peratus.
“Negara turut membelanjakan sebahagian besar kewangan untuk membawa masuk input-input pertanian seperti baja dan racun bagi membantu pengoperasian aktiviti pertanian negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada tahun lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan Malaysia mengimport produk makanan bernilai RM75.6 bilion pada 2022 berbanding eksport bernilai RM44.6 bilion.
Ini menjadikan perdagangan produk makanan Malaysia berjumlah RM120.2 bilion tahun lalu, peningkatan sebanyak 31.8 peratus atau RM29 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut, Anjas Asmara berkata, negara perlu mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian sebagai salah satu langkah yang boleh diambil oleh pihak yang berkepentingan.
Katanya, sebagai contoh terdapat hampir 103,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara.
“Sebelum munculnya evolusi pertanian moden, tidak semua tanah terbiar sesuai untuk aktiviti pertanian tanaman makanan. Jenis tanah, bentuk muka bumi yang berbukit bukau, sumber air merupakan antara faktor yang perlu diambil kira sebelum tanaman makanan diusahakan,” katanya.
Namun kata Anjas Asmara, seiring dengan perubahan teknologi, keperluan tanah sesuai untuk aktiviti tanaman makanan tidak lagi menjadi penghalang.
“Pertanian secara vertikal, fertigasi dan hidroponik boleh dilakukan atas tanah terbiar yang tidak sesuai dan iamampu memberikan hasil yang tinggi berbanding cara pertanian secara konvensional,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd. Rashid berkata, Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada import sayuran sedangkan ia mampu dikeluarkan oleh pekebun tempatan.
Katanya, jika perkara dibiarkan berlaku, ia menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos pertukaran mata asing dan lebih memburukkan, ia seolah-olah meminggirkan petani tempatan.
“Misalnya kobis, kadangkala kita berhadapan kekurangan pengeluaran dalam dua minggu. Namun tidak perlu sampai kena import dari luar negara. Kita boleh import seperti tanaman yang tidak terdapat di negara ini seperti brokoli dan buah oren,” katanya.
Mengulas lanjut, Syed Abd. Rahman berkata, negara perlu memanfaatkan potensi inisiatif pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV) untuk merancakkan semula sektor pertanian di samping peningkatan penyertaan golongan petani muda serta meningkatkan keluasan kawasan pertanian. – UTUSAN