ARAU: Biarpun dibesarkan tanpa sokongan dan kasih sayang ibu bapa dengan dipelihara sejak kecil oleh datuk dan nenek, Muhammad Aiman Mohd. Asri, 25, tetap mendapat penjagaan sempurna khususnya dari aspek pendidikan.
Pengorbanan datuk dan nenek yang membesarkan Muhammad Aiman dan abangnya, Muhammad Amirul, 26, akhirnya terbalas apabila dia berjaya menamatkan pengajian Ijazah Kejuruteraan Komputer di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
Disaksikan dua warga emas tersebut, Muhammad Aiman menerima ijazah pada sidang ketiga Istiadat Konvokesyen Unimap Ke-19 di Dewan Ilmu, Pauh Putra di sini, semalam.
Sejak kecil, ibu bapa Muhammad Aiman sudah berpisah dan dia membesar bersama datuknya, Mansor Kassim, 79, serta neneknya, Noraini Foo Abdullah, 74, di Klang, Selangor.
Sewaktu berusia lapan tahun, ibu Aiman meninggal dunia akibat kanser payudara tahap empat manakala ayahnya masih tidak dapat dikesan pada ketika itu.
Muhammad Aiman berkata, sejak kecil, datuk dan neneknya bertungkus lumus membesarkan dia bersama abangnya, malah mereka turut menitikberatkan aspek pendidikan.
“Kami hanya dapat berjumpa dengan ayah ketika saya menginjak usia 18 tahun. Namun, tidak lama kemudian ayah turut meninggal dunia,” katanya.
Tambahnya, sejak kecil, datuknya menggunakan wang pencen pesara kerajaan bagi membesarkan mereka berdua dan memberikan pendidikan yang sempurna.
“Saya memang amat bersyukur kerana walaupun kurang kasih sayang ibu ayah, namun datuk dan nenek berkorban segalanya buat kami berdua,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perancangan selepas ini, Muhammad Aiman berkata, dia sememangnya menanam impian untuk membalas jasa datuk dan nenek.
“Sekarang, sudah tiba masa untuk kami membalas jasa mereka berdua malah abang saya juga bakal bergraduasi pada Disember ini selepas menamatkan pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM),” katanya. – UTUSAN