BEIJING: China melancarkan 15 satelit baharu, termasuk satu untuk Oman, ke angkasa lepas hari ini, lapor media tempatan.
Pelancaran satelit itu menggunakan roket komersial Lijian-1 Y5 pada jam 12.03 tengah hari (waktu tempatan) dari sebuah zon inovasi aeroangkasa komersial di bahagian barat laut negara itu.
Roket komersial Lijian-1 Y5 dibangunkan oleh CAS Space, sebuah syarikat penerbangan angkasa komersial yang ditubuhkan oleh Institut Mekanik di bawah Akademi Sains China.
Siri roket ini memulakan penerbangan sulungnya pada 7 Julai 2022 dan melancarkan sebanyak 57 satelit dalam lima misi penerbangan.
Dengan panjang 30 meter, berat berlepas 135 tan, dan daya tujahan berlepas 200 tan, Lijian-1 mampu menghantar muatan seberat 1.5 tan ke orbit segerak suria pada ketinggian 500 kilometer (km) atau muatan dua tan ke orbit bumi rendah.
Antara satelit yang dilancarkan termasuk siri Jilin-1 Gaofen, siri Yunyao-1, siri Xiguang-1 dan sebuah satelit penderiaan jauh untuk Oman.
Pada bulan lalu, China melancarkan misi berawak baharu, Shenzhou-19, yang membawa tiga angkasawan ke angkasa lepas.
Sementara itu, tiga angkasawan terdahulu yang menjalani misi lepas telah pulang ke bumi pada minggu lalu.
Angkasawan tersebut menjalankan tugasan di stesen angkasa China, Tiangong, sebelum menyerahkan tugas kepada rakan sekerja baharu mereka.
Agensi Angkasa Berawak China memaklumkan kargo Tianzhou-7, yang membawa bekalan ke stesen angkasa itu, berpisah daripada gabungan stesen pada Ahad dan dijadualkan kembali ke Bumi.- AGENSI