KUANTAN: Cherating yang suatu ketika dahulu merupakan pusat pelancongan terkemuka di negara ini dan serata dunia kini boleh dikatakan semakin sayu serta suram tanpa kehadiran pelancong.
Pengerusi Eksekutif NNA Land, Datuk Nazrul Izad Mohd. Arsad berkata, banyak hotel dan chalet terpaksa ditutup dan prasarana di situ juga tidak baik.
“Ada juga hotel seperti tinggalan usang yang menakutkan. Apabila hotel ditutup tidak ada peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Kerajaan negeri menerusi Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri harus mempromosikan semula Cherating seperti mengadakan acara peringkat tempatan dan antarabangsa bagi menghidupkan semula industri pelancongan di Cherating.
“Usaha giat perlu dilakukan kerana Cherating merupakan aset pelancongan Pahang. Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) perlu menumpukan infrastruktur seperti jalan berlubang dan lampu jalan yang begitu menghampakan pelancong dalam dan luar negara,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Nazrul Izad berkata, kerajaan harus menumpukan usaha mempromosi Cherating dan menubuhkan jawatankuasa tindakan khas mempromosi destinasi ini di pentas dunia.
“Sebagai alternatif, kerajaan boleh melibatkan kerjasama awam swasta untuk mempromosikan semula Cherating. Kerajaan juga perlu meluluskan cadangan memajukan Cherating dengan segera.
“Tanah-tanah kerajaan perlu diluluskan atau diwarta rezab pelancongan bagi membolehkan hotel-hotel baru dibina dan hotel terbengkalai kerajaan perlu mencari alternatif untuk menghidupkan kembali,” jelasnya.
Menurutnya, sebagai anak tempatan, beliau sedih melihat keadaan Cherating pada ketika ini yang mana jika dibiarkan begitu sahaja dibimbangi hilang dalam kamus pelancongan negara.
“Saya mohon dan merayu kerajaan negeri bertindak mempromosikan semula Cherating sebagai aset pelancong dunia,” katanya. – UTUSAN