PETALING JAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) kini dicadangkan untuk ditukar kepada nama asalnya, iaitu Universiti Pertanian Malaysia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau akan membawa cadangan itu ke mesyuarat Kabinet tidak lama lagi dan akan dikemuka kepada Jemaah Menteri.
Menurut beliau, cadangan tersebut dibuat selepas mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.
“Sekarang pertanian sudah jadi isu dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semua bincang pasal pertanian.
“Saya berhasrat begitu sebab dulu asalnya memang nama Universiti Putra Malaysia ialah Universiti Pertanian Malaysia. Untuk kembali nama kepada Universiti Pertanian Malaysia, saya ingat sesuai,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam sidang selari tujuh Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) bertajuk ‘Keterjaminan Makanan’ yang diselaraskan UPM di sini semalam.
Sebagai rekod, nama universiti itu ditukar daripada Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia pada April 1997 bagi menggambarkan status UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan saja menawarkan program pengajian dalam bidang pertanian, sebaliknya pelbagai bidang lain terutamanya sains dan teknologi maklumat. – UTUSAN