Cadang semak semula gaji penjawat awam gred rendah - Utusan Malaysia

Cadang semak semula gaji penjawat awam gred rendah

Datuk Awang Hashim - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyemak semula gaji permulaan bagi penjawat awam gred rendah memandangkan golongan itu bertanggungjawab melaksanakan pelbagai tugas penting dalam sektor kerajaan.

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, gaji dan elaun yang diterima ketika ini tidak mencukupi untuk menampung kos hidup yang semakin tinggi.

“Apabila bercakap tentang gaji penjawat awam gred rendah, kita tidak boleh memandang remeh kepada realiti kehidupan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, di mana kos hidup terus meningkat.

“Justeru, saya mendesak kerajaan untuk menyemak semula gaji permulaan bagi gred rendah, kerana kita tidak mahu melihat penjawat awam ini terpaksa bergelut untuk menampung keperluan asas. Tanpa tindakan segera, masalah ini hanya akan memburukkan lagi keadaan sosioekonomi mereka,” katanya pada sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang berkata, penjawat awam gred rendah terpaksa menanggung lebih banyak tugas selepas penjumudan gred 11 hingga 18.

“Walaupun tujuan penjumudan ini untuk menyelaraskan tanggungjawab dan peluang kenaikan pangkat, namun realitinya mereka kini menghadapi beban kerja yang lebih berat tanpa sebarang peningkatan dalam ganjaran.

“Adakah ini adil? Saya menyeru kerajaan untuk menyemak semula agihan beban kerja supaya lebih seimbang, dan pastikan bahawa ganjaran yang diberikan adalah setimpal dengan usaha mereka,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, sistem penilaian prestasi sedia ada masih tidak mencerminkan usaha sebenar penjawat awam.

“Ramai yang berpandangan penilaian prestasi mereka adalah subjektif, menyebabkan ramai yang layak dinaikkan pangkat terpinggir. Saya mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan sistem penilaian prestasi yang lebih telus dengan indikator prestasi utama (KPI) yang lebih jelas.

“Ini penting supaya semua penjawat awam, terutama mereka yang berada di gred rendah, dapat dinilai secara adil dan objektif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya