SEREMBAN: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker mencadangkan supaya pemberian peruntukan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini dapat diwartakan.
Menurut beliau, menerusi pewartaan tersebut, isu berkenaan peruntukan terhadap pembangkang tidak terus berulang pada masa hadapan.
“Di dalam Dewan ini, Barisan Nasional (BN) pernah menjadi kerajaan dan tidak memberikan peruntukan kepada pembangkang pada waktu itu, ramai ADUN DAP dan PKR pernah rasa tidak mendapat peruntukan. Pada 2018 semasa PH jadi kerajaan, BN juga hadapi perkara yang sama, tidak dapat peruntukan, jadi 0-0.
“Jadi apa salah PN (Perikatan Nasional)? kami adalah parti baharu jadi tidak bolehkah Sikamat (Menteri Besar), jangan mulakan, kerana kami bimbang jika kami pula jadi kerajaan perkara ini akan terus berulang, sehinggalah kesemua 31 ADUN (kerajaan) tiada lagi, perkara ini akan terus diwarisi ADUN yang lain.
“Saya memohon kepada Menteri Besar, jika dapat diselitkan peruntukan kepada ADUN pembangkang, kita wartakan dalam sidang DUN yang mulia, ADUN kerajaan ada 31 oang, dua pertiga sudah cukup kita selesaikan isu ini, saya yakin satu masa, kalau tuan ada di sini (kerusi pembangkang) tidak perlu lah merayu lagi kepada kerajaan pada masa tersebut,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Labu berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024 pada hari ketiga, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.
Mohamad Hanifah sementara itu berharap kerajaan Negeri Sembilan dapat mencontohi negeri lain seperti Johor, Selangor dan Perak yang turut memberikan peruntukan kepada ADUN pembangkang.-UTUSAN.