SHAH ALAM: Penyanyi, Bunga Isme akui tidak mudah mengharungi zaman pengajiannya di universiti dan dalam masa sama bekerjaya sebagai penyanyi apabila masing-masing memerlukan komitmen penuh.
Bagaimanapun, usaha gigihnya membuahkan hasil apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-100, pada Ahad lalu.
Bunga Isme atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Bakhari berkata, dia menjadikan seorang pempengaruh terkenal, Khairul Aming sebagai inspirasi untuk berjaya dengan berpegang kepada nasihatnya supaya menjadi orang yang berilmu walau dalam apa jua kerjaya.
“Alhamdulillah saya berjaya graduate on time (GOT) walaupun pernah gagal beberapa kali. Saya berbangga kerana dapat raikannya dengan kawan-kawan.
“Kawan-kawan seperti Wina, Sharul dan Bina, kami bersama sejak dari zaman diploma sampa ijazah, mereka yang sentiasa membantu saya. Kadang-kadang kalau ada persembahan di sebelah siang, saya kena ke luar daerah memang terpaksalah maklum kepada pensyarah untuk tidak hadir kelas, katanya ketika ditemui selepas istiadat tersebut.
Tambahnya, dia turut menasihatkan rakan-rakan seperjuangannya dalam industri supaya sambung pengajian jika sudah terdetik untuk berbuat demikian kerana ia boleh dibuat pada bila-bila masa tanpa mengira usia.
Dalam pada itu, Bunga Isme, 24, yang juga isteri kepada vokalis kumpulan Razqa, Amzar Sabri berkata, dia kini dalam sedang dalam pembikinan album yang dijangka siap pada tahun hadapan.
“Ada lagu yang tidak sama genre, lain-lain mood dan vibe. Ada mood lagu galau, rap, happy sikit, sedih sikit..nantikanlah. Saya pun baru menerbitkan single bertajuk ‘Nak Buat Cane?’. Harap semua boleh sokong lagu terbaharu saya nanti,” kongsinya. – UTUSAN