Buli: Lima Pegawai Kadet UPNM diberhentikan, bayar ganti rugi - Utusan Malaysia

Buli: Lima Pegawai Kadet UPNM diberhentikan, bayar ganti rugi

PEGAWAI kadet Akademi Latihan Ketenteraan UPNM dituduh mencederakan seorang penuntut dengan seterika panas, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima penuntut Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dikenakan tindakan pembatalan pelantikan sebagai Pegawai Kadet (PK), ditamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan diarahkan membayar ganti rugi perbelanjaan sepanjang pengajian.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang semalam meluluskan syor ALK terhadap lima penuntut tersebut yang terlibat dalam tiga kes penganiayaan membabitkan Pegawai Kadet lain.

Katanya, ALK telah mengesyorkan tindakan termasuklah pembatalan pelantikan sebagai PK, pemberhentian kerja daripada perkhidmatan ATM dan mengenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia yang dikira daripada keseluruhan perbelanjaan dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian.

“(Bagaimanapun), tindakan yang dikenakan ini tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh pihak UPNM sendiri mahupun Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, dalam kes melibatkan penganiayaan tekapan seterika ke dada PK Muhammad Salman Mohd. Saiful Surash oleh PK Amirul Iskandar Ahmad Norhizan telah dikesan jurulatih bertugas ALK semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala pada 28 Oktober 2024.

Katanya, susulan itu, satu siasatan dijalankan dan mendapati PK Amirul Iskandar, pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021) telah melakukan penganiayaan fizikal terhadap mangsa.

“Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM44,600.20.

“Pelaku juga telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 November 2024 dan prosiding masih berjalan,” katanya.

Dalam kes kedua melibatkan penganiayaan terhadap PK Alief Ahsreihan Ahslemy, beliau berkata, pendedahan kes itu adalah berdasarkan maklumat awal diterima oleh Ketua Kompeni daripada seorang pensyarah di UPNM.

Katanya, pihak atasan ALK telah mengarahkan untuk satu siasatan segera dijalankan.

Berdasarkan siasatan, kes tersebut melibatkan tiga PK iaitu PK Izzat Izuddin Mohammad Arif (pelaku pertama), PK Muhammad Hidayat Haqimi Mohd. Yuslan (pelaku kedua) dan PK Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi (pelaku ketiga).

“Pelaku pertama, PK Izzat Izuddin Mohammad Arif iaitu pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan (Pengambilan 2021) telah mengarahkan pelaku kedua, PK Muhammad Hidayat Hawimi Mohd. Yuslan untuk mengenakan Hukuman Pembetulan terhadap mangsa, (ia) bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan di bawah Perintah Tetap PK ALK.

“Pelaku kedua, iaitu penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Keselamatan Komputer) (Pengambilan 2023) seperti diarahkan pelaku pertama telah mengenakan Hukuman Pembetulan terhadap mangsa, (ia) bertentangan peraturan ditetapkan di bawah Perintah Tetap PK ALK, melakukan tindakan salah laku secara fizikal, serta mengarahkan mangsa untuk melakukan kerja-kerja peribadi.

“Pelaku ketiga, iaitu penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Pengambilan 2021) telah melakukan tindakan salah laku secara fizikal dan tindakan pengasingan yang menyebabkan gangguan emosi terhadap mangsa,” katanya.

Oleh demikian, ketiga-tiga pelaku dikenakan tindakan pembatalan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan masing-masing dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM48,452.75; RM19,481.70 dan RM44,600.20.

Mohamed Khaled berkata, bagi kes ketiga iaitu penganiayaan terhadap PK Yeong Kian Rui membabitkan pelaku PK Ammar Hafiy Muhammad Habib dalam kes penganiayaan melibatkan kecederaan fizikal telah dikenal pasti setelah jurulatih merasa curiga ketika mangsa meminta untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati PK Ammar Hafiy iaitu penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengambilan 2022) telah melakukan tindakan salah laku secara fizikal yang menyebabkan kecederaan ‘soft tissue injury over lower back secondary to trauma’ kepada mangsa.

“Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM32,115.95,” katanya.

Tegas Mohamed Khaled, Kementerian Pertahanan tidak sama sekali akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan dan akan terus menambah balik mekanisme pencegahan bagi mengelakkan kejadian penganiayaan berulang.

“Kementerian Pertahanan memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan yang bertentangan dengan etika dan peraturan yang telah ditetapkan akan ditangani dengan tegas dan keras.

“Kementerian Pertahanan berharap agar keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak serta dapat memulih dan memperkasa nilai-nilai ketenteraan (military value) yang sepatutnya diamalkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN