PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan mengenai hantaran dalam Facebook yang memaparkan seorang ahli akademik menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan itu dibuka selepas menerima satu laporan polis pada pukul 9.48 malam semalam.
Kata beliau, berdasarkan laporan dibuat, pengadu mendakwa mengesan satu hantaran yang dimuat naik oleh pemilik Facabook Dakwah Sunnah II berkaitan individu iaitu pensyarah di sebuah universiti tempatan yang mencetuskan provokasi.
“Hantaran berkenaan memaparkan lelaki berkenaan telah mengeluarkan kenyataan dengan menghina Nabi Muhammad di dalam satu program .
“Antara kata-kata yang dilontarkan oleh individu itu adalah nama Nabi Muhammad dan isteri Sayidatina Aisyah R.A menjadi bahan lawak hambar yang tidak beradab sekali gus mencalar kesucian peribadi baginda dan keluarganya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, lebih memalukan apabila lawak pensyarah berkenaan disambut gelak ketawa oleh para hadirin yang dihadiri oleh agamawan yang kononnya kelompok mereka sahaja ikut sunnah.
Tambah beliau, dalam lakonannya, ahli akademik tersebut secara sinis mengeluarkan kenyataan lain yang biadap.
“Beliau juga melakonkan watak Rasulullah sambil membuat mimik wajah yang buruk dan mengucapkan kata-kata sindiran,” ujarnya.
Razarudin berkata, siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.