Buaya tembaga jantan masuk perangkap

Buaya tembaga jantan masuk perangkap

RAIS Yasin dan anggota Perhilitan bersama seekor buaya tembaga jantan yang memasuki perangkap di Sungai Malim, Taman Malim Jaya, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seekor buaya tembaga jantan memasuki perangkap yang dipasang di Sungai Malim berhampiran Taman Malim Jaya di sini semalam, namun reptilia itu disahkan bukan sang bedal yang diburu kerana membaham beberapa ekor kambing di Kampung Tengah, sebelum ini.

Reptilia itu merupakan sang bedal ketiga ditangkap di lokasi sama, selepas dua ekor buaya tembaga betina memasuki perangkap pada Oktober dan Julai lalu.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, oleh kerana berat haiwan itu hanya sekitar 200 kilogram, maka ia tidak seperti digambarkan penduduk Kampung Tengah.

“Daripada sudut saiz bukan buaya ini yang membaham kambing penternak di Kampung Tengah kerana ia dilihat lebih besar oleh penduduk sekitar 300 kilogram. Perhilitan akan meningkatkan usaha untuk memburu sang bedal itu sehingga ia tertangkap.

“Sungai Malim ini panjang dari Taman Malim Jaya hingga ke Kampung Tengah serta menjadi habitat semula jadi buaya tembaga,” katanya ketika ditemui.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kemunculan seekor buaya tembaga yang seolah-olah bersantai di tebing Sungai Malim berhampiran Tanah Perkuburan Baharu Kampung Tengah, Isnin lalu kembali mencuri perhatian penduduk.

Mengulas mengenai perkara itu, Rais berkata, Perhilitan turut memasang perangkap di sekitar kawasan terlibat dan meminta orang ramai berhati-hati, meskipun difahamkan ia bersaiz kecil.

Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai berkata, buaya tembaga jantan itu dipercayai memasuki perangkap kira-kira pukul 3.30 petang selepas dimaklumkan orang awam yang terlihat pintu sangkar tertutup.

“Kita mengambil masa lebih dua jam sebelum berjaya mengeluarkan reptilia itu dari sangkar sebelum mengikat dan menutup matanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya