PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al Hamad Al Sabah dan Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati hari ini.
Pertemuan berkenaan diadakan sebelum Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam.
Agenda pertemuan dijangka akan membincangkan isu kekejaman rejim Zionis dan ketegangan di rantau Asia Barat.
Anwar juga dijangka menyatakan sokongan Malaysia terhadap Lubnan yang kini berdepan dengan ‘kegilaan’ Israel.
Selain itu, Anwar akan berunding dengan Putera Mahkota Kuwait tentang kerjasama ASEAN-GCC, memandangkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN juga bakal menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC tahun depan.