KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor berhasrat membina sistem terowong bawah tanah bagi menampung limpahan hujan dari Kuala Lumpur sebagai langkah mitigasi bagi mengelak banjir di kawasan barat di ibu kota dan negeri ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, perkara itu sedang diteliti secara terperinci berdasarkan model mitigasi yang digunakan di Jepun, namun cadangan cadangan projek dianggarkan bernilai RM6 billion itu sudah pun diajukan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Sistem seumpama itu dilaksanakan di Kawasaki dan Saitama yang menggunakan kaedah mengalirkan air secara terus ke terowong bawah tanah akibat banjir.
“Hasil lawatan saya di dua bandar Jepun itu mendapati ia amat berkesan dan menjadi langkah penyelesaian jangka masa panjang bagi pengurusan banjir di negara ini,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej B di Stesen Pam Rantau Panjang, Bestari Jaya di sini, petang ini.
Jelasnya, cadangan itu juga menjadi sebahagian kajian yang dijalankan mengikut Pelan Induk Air negeri.
“Berdasarkan pandangan pakar, sungai kita sememangnya tidak mampu menguruskan taburan hujan yang luar biasa. Projek terowong itu kelak bukan saja mampu menyelamatkan Selangor daripada banjir tetapi juga melibatkan Kuala Lumpur,” ujarnya.
Bagaimanapun, Izham menjelaskan, perkara itu bergantung kepada kelulusan kerajaan Persekutuan kerana melibatkan kos pembinaan yang tinggi.
“Ia juga pernah saya sebut sebelum ini dan perlu dilaksanakan bagi menangani isu kekerapan banjir di Lembah Klang. Kita berharap dapat menyelesaikan segera perkara itu kerana bah berlaku di luar kebiasaan dan kita perlu fikir cara menanganinya,” jelasnya. – UTUSAN