RAUB: Semua pihak perlu memastikan rumah baharu yang ingin dibina buat mangsa banjir di negeri ini khususnya di kawasan yang sering dilanda musibah berkenaan dibuat lebih tinggi.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, rumah yang hendak dibina perlu disesuaikan dengan kawasan berisko banjir kerana fenomena itu perkara biasa negeri ini.
“Ini memang satu fenomena yang biasa di negeri Pahang ini. Mereka yang tinggal berhampiran sungai akan menghadapi risiko seperti ini.
“Saya harap kalau ada kementerian, agensi atau bantuan daripada pihak-pihak kerajaan atau swasta, kalau hendak membina rumah, biarlah rumah itu tinggi sikit,” titah baginda ketika berkenan mencemar duli menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang di sini hari ini.
Berkenan berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.
Sebanyak 66 buah keluarga melibatkan 230 mangsa banjir dari enam buah kampung ditempatkan di PPS berkenaan sejak semalam.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan sungai yang terdapat di kawasan perkampungan dapat didalamkan bagi mengurangkan kesan akibat banjir.
“Dalam pada itu, sungai-sungai yang ada di perkampungan-perkampungan ini dapat didalamkan supaya dapat mengurangkan kesan banjir khususnya kawasan di tepi sungai.
“Di mana kita perlu usahakan dengan cara kita untuk terus kaji.. kalau tidak kita akan berada dalam keadaan ini buat selama-lamanya,” titah baginda.
Baginda dalam masa sama turut memberi perhatian terhadap kejadian banjir lumpur yang melanda beberapa kawasan di daerah Lipis.
“Saya tidak tahu lumpur atau air sebab saya tidak tengok sendiri, tengok esok macam mana kalau keadaan bertambah teruk saya akan ke sana,” titah baginda. – UTUSAN