KUANTAN: Pejabat tanah atau pentadbir tanah daerah perlu memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk menjalankan ekonomi desa di atas tanah rezab bersesuaian yang terdapat di kawasan kampung.
Pengerusi Eksekutif NNA Land, Datuk Nazrul Izad Mohd. Arsad berkata, beliau membangkitkan perkara ini kerana terdapat rungutan dalam kalangan JPKK apabila perlu menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kelulusan tanah rezab daripada pejabat tanah.
Jelasnya, terdapat juga kes tanah kerajaan yang sudah pun direzabkan kepada JPKK perlu sekali lagi mendapat kebenaran daripada pentadbir tanah daerah.
“Hal ini akan membantutkan pembangunan ekonomi desa. Rakyat dan usahawan desa tidak mampu menyewa kedai di bandar sebaliknya hanya mampu membina gerai seperti kabin dan sesuai di atas tanah rezab JPKK. Malangnya, proses pejabat tanah yang tidak menyokong seperti menyusahkan rakyat.
“Apabila tiada jawapan bertahun tahun daripada pentadbir tanah untuk kelulusan guna tanah menyebabkan banyak gerai dibina secara haram dan berdepan dengan undang-undang dan ada yang dirobohkan,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Nazrul Izad berkata, JPKK merupakan organisasi akar umbi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang mentadbir organisasi kampung.
“JPKK diketuai ketua dan jawatankuasanya di peringkat institusi kampung. JPKK juga merupakan pengantara rakyat di kampung dengan agensi kerajaan khasnya pejabat tanah daerah.
“Apabila tanah terbiar kerajaan yang berpotensi dijadikan sumber ekonomi dalam sesebuah kampung dijadikan rezab JPKK, ia dapat memudahkan pembinaan gerai, pusat jaja dan lain-lain dalam kampung,” katanya.
Jadi beliau berharap pihak pentadbir tanah daerah peka dan prihatin dengan nasib kesusahan rakyat dan menyerahkan tentang soal pembangunan ekonomi desa kepada JPKK.
“Apabila pentadbir tanah memberikan kebenaran, JPKK boleh menguruskan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk proses permit dan lain-lain urusan berkaitan,” katanya. – UTUSAN