KUANTAN: Belanjawan Pahang 2025 yang memperuntukkan RM36.78 juta bagi pertanian, industri dan asas tani memperlihatkan kerajaan negeri cakna untuk menaikan industri pertanian, menggalakkan pertumbuhan ekonomi rakyat khususnya dalam kalangan pekebun kecil serta membasmi kemiskinan desa.
Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Nazrul Izad Mohd. Arsad berkata, menerusi peruntukan itu, ia membuktikan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail begitu prihatin melatih para petani untuk menjadi petani moden.
“Syabas dah tahniah kepada Menteri besar. Saya harap sektor pertanian dan keterjaminan makanan seperti penanaman padi, kerajaan dapat membuat infrastruktur asas bagi memudahkan petani mengusahakan bendang dan sawah terbiar.
“Selain sektor pertanian, perkhidmatan air pula memperuntukan RM91.97 juta dalam Belanjawan Pahang 2025 membuktikan kerajaan negeri prihatin untuk menjamin keselesaan pengguna.
“Contohnya, pembinaan paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng berkapasiti 90 juta liter sehari yang jelas memberi keistimewaan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah dan Parlimen Indera Mahkota,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Pahang 2025 yang merupakan belanjawan lebihan atau surplus berjumlah RM12 juta pada sidang DUN Pahang.
Wan Rosdy dilaporkan berkata, Belanjawan Negeri Pahang 2025 bertemakan ‘Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan’ mensasarkan kutipan hasil mencecah RM1.194 bilion, meningkat lima peratus berbanding tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, RM1.182 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus yang merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran teta serta perbelanjaan lain dan aset dengan peningkatan sebanyak RM57 juta ringgit atau 5.05 peratus berbanding tahun lalu.
Bagi tujuan perbelanjaan pembangunan pula, peruntukan disediakan berjumlah RM399.64 juta.
Mengulas lanjut, Nazrul Izad berkata, beliau berharap segala peruntukan dalam Belanjawan Pahang 2025 dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan terutama rakyat dalam kawasan Parlimen Indera Mahkota.
“Semoga Belanjawan Pahang 2025 yang sudah pun dibentangkan dapat mensejahterakan seluruh rakyat dari sudut jasmani dan rohani, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN