BENTONG: Belanjawan Pahang 2025 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semalam disifatkan terbaik dan menyeluruh dalam menentukan hala tuju dan perancangan pembangunan demi kesejahteraan dan kemajuan rakyat serta negeri ini.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, belanjawan dengan tema Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan ini memberi fokus dan berpaksikan rakyat, serta mengangkat martabat dan menjunjung hak rakyat.
“Fokus utama Belanjawan Pahang 2025 adalah kesejahteraan rakyat dengan tumpuan kepada perlindungan golongan rentan, menambah baik prasarana asas dan menangani ketirisan.
“Menerusi belanjawan ini, hampir semua segmen membabitkan pelajar, warga emas, anggota keselamatan, veteran, ibu dan bapa tunggal tidak dipinggirkan oleh kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Pahang 2025 yang merupakan belanjawan lebihan atau surplus berjumlah RM12 juta pada sidang DUN Pahang.
Wan Rosdy dilaporkan berkata, Belanjawan Negeri Pahang 2025 bertemakan ‘Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan’ mensasarkan kutipan hasil mencecah RM1.194 bilion, meningkat lima peratus berbanding tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, RM1.182 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus yang merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran teta serta perbelanjaan lain dan aset dengan peningkatan sebanyak RM57 juta ringgit atau 5.05 peratus berbanding tahun lalu.
Bagi tujuan perbelanjaan pembangunan pula, peruntukan disediakan berjumlah RM399.64 juta.
Mengulas lanjut, Mohamad Zaini berkata, beliau menyambut baik keputusan kerajaan negeri menjenamakan semula Bantuan Prihatin Pahang dan Program Pahang Makmur sebagai Inisiatif Makmur Pahang atau I.M. Pahang bagi menyeragamkan bantuan dan inisiatif sebelum ini.
Menurutnya, biar apapun namanya, beliau melihat matlamat program berkenaan tetap sama iaitu inisiatif kerajaan negeri bagi menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada semua lapisan masyarakat daripada bayi yang baru lahir sehinggalah ke peringkat warga emas.
“Dalam Belanjawan Pahang 2025, untuk melaksanakan agenda kebajikan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM50.54 juta. Tentunya ia satu jumlah yang cukup besar demi manfaat dan kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sesungguhnya Belanjawan Pahang 2025 yang mensasarkan kutipan hasil mencecah RM1.194 bilion adalah ikhtiar cukup telus dan menyeluruh untuk meletakkan Pahang ke tahap lebih baik serta menjadikan rakyat sebagai keutamaan dalam agenda pembangunan negeri.
“Apa diharapkan segala peruntukan dalam Belanjawan Pahang 2025 dapat disalurkan dengan baik dan telus. Semoga Belanjawan Pahang 2025 dapat mensejahterakan seluruh rakyat daripada sudut jasmani dan rohani, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Insya-Allah,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya mencipta hatrik jumlah kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022.
“Kejayaan ini sekali gus membuktikan prestasi kepimpinan kerajaan negeri ketika ini cemerlang serta setanding dengan negeri maju lain seperti Selangor dan Johor,” ujarnya. – UTUSAN