KLANG: Majikan perlu memainkan peranan yang penting terhadap kestabilan sosial dengan memberi peluang pekerjaan yang sama terhadap golongan rentan seperti bekas banduan dan banduan dalam pemulihan.
Menurut Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu, pemilihan golongan rentan tersebut sebagai pekerja mampu menjadi alternatif kepada pekerja asing.
“Malah, ia (pemilihan golongan rentan tersebut) menyumbang kepada kemakmuran dan menguntungkan negara dalam jangkamasa panjang,” katanya ketika berucap pada
Program Seminar Pembangunan Majikan Tahun 2024, hari ini.
Mengulas mengenai seminar tersebut, Papparaidu memberitahu, isu-isu yang dikongsi oleh setiap penceramah sangat relevan dalam memperkasa majikan serta usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan golongan pekerja.
Katanya lagi, ia turut mencerminkan tanggungjawab besar yang dipikul oleh majikan masa kini, kerana antara topik yang diketengahkan oleh penceramah merangkumi termasuklah pencegahan bencana kerja dan perlindungan sosial melalui Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso).
Selain itu, topik mengenai pasaran kerja semasa dan perkhidmatan pekerjaan MyFuture Jobs”dan program Corporate Smart Internship (CSI) turut dikongsikan oleh penceramah yang terlibat.
“Sebagai pemimpin di tempat kerja, anda bukan sahaja dituntut untuk memastikan produktiviti tetapi juga melindungi kebajikan pekerja serta menyumbang kepada kestabilan dan ekonomi negeri,” ujarnya. – UTUSAN