Bas dinaiki anggota Malbatt terkena serpihan letupan

Bas dinaiki anggota Malbatt terkena serpihan letupan

GAMBAR insiden letupan membabitkan anggota Malbatt 850-12 seperti yang tular di media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan mengesahkan bas yang dinaiki anggota Malbatt 850-12 terkena serpihan bom yang disasarkan ke kenderaan lain.

Dalam kejadian itu, enam anggota pengaman Batalion Malaysia (MALBATT 850-12) yang baru tiba di Lubnan cedera selepas terkena letupan.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku pukul (Khamis) 1.54 tengahari waktu Lubnan atau 7.54 malam tadi waktu Malaysia, berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah.

“Letupan tersebut telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.

“Akibat kejadian tersebut, seramai enam orang anggota MALBATT 850 mengalami kecederaan iaitu lima anggota melibatkan MALBATT 850-12 mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang mengalami kecederaan di bahagian tangan (suspected closed fracture left arm) dan seorang lagi melibatkan anggota MALBATT 850-11 yang juga mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut kenyataan itu lagi, anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850-11.

“ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden ini dari masa ke semasa.

“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN