KUANTAN: Isu kesukaran mendapatkan pinjaman terus menjadi antara isu utama pemilikan rumah di negara ini walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan seperti melaksanakan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
Umum sedia maklum bahawa, SJKP adalah skim perumahan bertujuan membiaya warganegara Malaysia seperti petani yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk membeli rumah pertama.
Pengerusi Eksekutif NNA Land, Datuk Mohd. Nazrul Izad Mohd. Arsad berkata, sejak dilaksanakan, skim itu masih tertakluk kepada panel bank dengan menggunakan prosedur biasa hanya mengecualikan slip gaji.
Beliau memaklumkan, bank-bank komersial masih meminta dokumen akaun yang lengkap dan menjadi kesukaran kepada peniaga kecil dan petani.
“Bank Negara seharusnya memantau bank-bank komersial serta mencari satu kaedah yang memudahkan peminjam rumah mampu milik.
“Bank-bank komersial juga mengenakan faedah yang tinggi untuk SJKP sehingga melebihi 4.5 peratus berbanding produk pinjaman biasa bank.
“Hal ini tidak adil kepada pemohon SJKP yang berlatarkan rakyat golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah pertama mereka. Bank Negara perlu segera campur tangan bagi memastikan matlamat kerajaan melaksanakan SJKP tercapai,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Nazrul Izad berkata, beliau akan menghantar surat kepada Bank Negara dan Kementerian Kewangan demi memastikan SKJP benar-benar membantu golongan serta kumpulan sasarnya.
“Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan RM10 bilion bagi SJKP bertujuan membantu 20,000 pembeli rumah mendapatkan pinjaman untuk memastikan setiap rakyat Malaysia memiliki rumah idaman.
“Ia seharusnya selari dengan komitmen kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah selaras aspirasi perlindungan untuk semua rakyat,” katanya. – UTUSAN