Banjir paling teruk sepanjang 38 tahun menetap di Felda Kechau 1, bawa lumpur tebal - Utusan Malaysia

Banjir paling teruk sepanjang 38 tahun menetap di Felda Kechau 1, bawa lumpur tebal

SEORANG penduduk, Masdar Amjang bersama isteri menyusun kelengkapan rumah yang rosak akibat banjir lumpur di Felda Kechau 1 di Lipis, Pahang. - FOTO/NORFARHIZA MOHD. ATAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: “Kejadian banjir kali ini saya sifatkan paling teruk selama tempoh 38 tahun menetap di sini sebab ia membawa lumpur tebal.

Demikian kata warga emas, Che Azizah Hamid, 67, ketika menceritakan detik cemas kejadian banjir lumpur yang melanda Felda Kechau 1 dekat sini malam tadi.

Menurutnya, ketika kejadian, hujan turun lebat sebelum paras air naik secara mendadak sekitar pukul 9 malam.

“Biasanya air tidak pernah sampai ke rumah tapi malam tadi air naik dengan cepat, saya tidak sempat nak alihkan barangan penting terutama alatan untuk dialisis buah pinggang.

“Barangan rumah habis musnah, memang kami semua tidak jangka kejadian banjir lumpur ini berlaku sebab ia berlaku terlalu pantas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Nurul Nabila Md. Said, 35, berkata, ketika kejadian dia berada di Lipis sebelum bergegas pulang ke rumah sebaik dimaklumkan oleh ahli keluarganya.

“Masa saya sampai air sudah penuh di perkarangan rumah, masa itu saya hanya terfikirkan kucing peliharaan yang diletakkan dalam sangkar di rumah.

“Saya terpaksa mengharungi air banjir untuk menyelamatkan kucing sebab ia berbunyi bising, barangan dan alatan rumah lain saya tidak sempat selamatkan,* ujarnya.

Sementara itu, Info Terkini Bencana Banjir Negeri Pahang menyatakan, jumlah mangsa banjir di Pahang menurun sedikit iaitu seramai 456 mangsa daripada 130 keluarga pada pukul 4 petang tadi.

Ia berbanding 460 orang dari 132 keluarga pada pukul 12 tengah hari tadi.

Di Raub, terdapat enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 226 mangsa daripada 66 keluarga manakala di Lipis dua PPS membabitkan 230 mangsa, 64 keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN