GUA MUSANG: Tiga daripada enam pekerja yang terperangkap di dalam kawasan ladang kelapa sawit di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di sini sejak Selasa lalu terpaksa meredah arus deras sungai dan berjalan kaki lebih enam kilometer untuk mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun, ketiga-tiga pekerja lelaki berjaya diselamatkan penduduk kampung selepas ditemukan dalam keadaan kesejukan dan kelaparan semasa operasi menyelamat dijalankan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, kejadian banjir yang berlaku pada Selasa lalu itu menyebabkan enam pekerja ladang telah terperangkap.
Menurutnya, ahli keluarga telah membuat laporan di Balai Polis Paloh pada Rabu lalu selepas mangsa tidak pulang ke rumah.
“Kesemua mereka menyelamatkan diri pada Rabu dengan cara bergayut dan menggunakan batang kayu serta meredah arus sungai yang deras serta berjalan kaki sejauh lebih enam kilometer untuk mendapatkan bantuan.
“Manakala tiga lagi rakan mereka tidak turut serta disebabkan salah seorang daripada mereka mengalami demam dan tidak mampu untuk berenang,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Nor Azizi memberitahu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bersama pihak Polis, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan turut disertai penduduk kampung.
Katanya, sebelum ketibaan pasukan penyelamat sebuah bot milik penduduk kampung berusaha untuk menyelamatkan mangsa, namun menghadapi kesukaran kerana perlu mengangkat bot dan berjalan kaki.
“Pasukan SAR juga mengalami kesukaran jika menggunakan bot kerana tersekat oleh air yang melimpah jalan ladang. Anggota penyelamat terpaksa berenang mengharungi arus deras serta terpaksa menangguh operasi berikutan hari yang semakin gelap.
“Usaha SAR diteruskan dengan menggunakan alternatif jalan ladang untuk mengambil mangsa. Selepas berenang dan berjalan kaki sejauh lebih dua kilometer dari sungai Chalil ke lokasi mangsa, akhirnya pasukan penyelamat menemui lori sawit, motosikal pekerja serta pondok yang bina,” ujarnya.
Nor Azizi berkata, bagaimanapun kesemua mangsa dipercayai sudah dibawa dibawa keluar dengan bot penduduk kampung yang masuk mencari sejak semalam dengan menggunakan laluan berbeza daripada pasukan SAR.-UTUSAN