KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah menjadi 80 berbanding 76 orang semalam.
Kesemua mangsa dari 20 keluarga itu masing-masing sedang berlindung di PPS SK To’Deh, Rantau Panjang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, Bachok.
Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri berkata, setakat pukul 7 pagi PPS SMK Beris Panchor menempatkan mangsa paling ramai iaitu 44 orang dari 12 keluarga.
“Sementara 36 mangsa dari lapan keluarga sedang berlindung di PPS SK To’Deh.
“Setakat ini Sungai Golok di Rantau Panjang semakin menurun, bagaimanapun masih berada pada paras amaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Sekretariat APM negeri, Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat kembali kepada paras berjaga-jaga susulan hujan lebat.
Katanya, sungai-sungai utama lain berada pada paras normal.
Sekretariat APM negeri memberitahu, hujan lebat berterusan dijangka berlaku sehingga Jumaat ini.
Katanya, antara jajahan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.-UTUSAN