KOTA BHARU: Situasi banjir di negeri ini semakin meruncing apabila 82,256 mangsa sedang berlindung di 279 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi tadi.
Menurut InfoBencana JKM kesemua mangsa yang terlibat itu terdiri daripada 25,378 orang.
Katanya, daerah Pasir Mas kekal sebagai kawasan paling teruk terjejas setakat ini apabila seramai 25,826 mangsa sedang berlindung di 61 buah PPS.
“Selain Pasir Mas, Tumpat merupakan antara kawasan yang teruk terkesan. Sehingga kini seramai 13,429 mangsa dari 4,159 keluarga sedang berlindung di 26 buah PPS.
“Sementara di Kota Bharu (11,411), Pasir Puteh (8,393), Kuala Krai (5,890), Machang (5,734), Bachok(5,631), Tanah Merah (4,856), Jeli (1,055) dan Gua Musang (31),” ujarnya.
Sementara itu, menurut laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my 10 sungai utama di negeri ini sudah melepasi tahap bahaya.
Antara sungai terlibat ialah Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Lanas (Jeli), Sungai Kelantan (Kusial Baru, Tanah Merah), Sungai Kelantan (Kusial,Tanah Merah), Sungai Kelantan (Temangan,Machang), Sungai Golok (Rantau Panjang), Sungai Kelantan (Tambatan Diraja, Kota Bharu), Sungai Golok (Kuala Jambu, Tumpat), Sungai Melor di Jambatan Melor (Bachok) dan Sungai Semerak (Pasir Puteh).-UTUSAN