KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) terpaksa menutup sementara operasi 18 buah Klinik Kesihatan (KK) di selepas laluan ke premis itu ditenggelami banjir.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, Tendong, Pasir Mas merupakan KK paling awal ditutup manakala Kok Lanas menjadi premis terbaru semalam.
Katanya, penutupan operasi itu turut melibatkan 11 buah KK di Pasir Mas, Machang (2), Tanah Merah (2) dan masing-masing sebuah di Kota Bharu, Pasir Puteh serta Tumpat.
“Kita tutup sementara operasi disebabkan laluan fasiliti itu dinaiki air akibat banjir dan demi menjamin keselamatan serta keselesaan pesakit.
“Saya jangkakan mungkin ada lagi klinik kesihatan bakal ditutup kerana Jabatan Meteorologi meramalkan hujan berterusan hingga esok yang mungkin menyebabkan banjir,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr. Zaini memberitahu, pesakit kronik dan memerlukan rawatan susulan sudah dikenal pasti lebih awal sebelum dirujuk ke hospital.
“Sebagai contoh, ibu mengandung atau sudah menghampiri tarikh bersalin serta pesakit menjalani rawatan hemodialisis. Semua mereka ini kita memang sudah kenal pasti lebih awal dan dibawa ke hospital.
“Di pusat pemindahan sementara juga ada menyediakan perkhidmatan rawatan.” ujarnya.-UTUSAN