KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melihat tiada keperluan untuk membuat pengisytiharan darurat sungguhpun 10 jajahan sudah di negeri ini ditenggelami banjir ketika ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Ab. Pattah Hasbullah berkata, sehingga kini situasi bencana banjir di negeri ini masih terkawal dan masih jauh daripada keadaan yang memerlukan tindakan tersebut.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman terutama pada tahun 2014, kita hanya mengisytiharkan darurat apabila paras air di Tangga Krai mencecah ketinggian 35.1 meter.
“Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, paras air di situ baru mencapai 25.13 meter, iaitu kurang 10 meter daripada paras dicapai pada kejadian Bah Kuning 2014.
“Jadi keadaan masih terkawal dan belum ada keperluan untuk kita mengisytiharkan darurat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Ab. Pattah memberitahu, untuk mengisytiharkan darurat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan perlu bermesyuarat di peringkat negeri dengan di pengerusi kan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.
Katanya, Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim akan dimaklumkan mengenai perkara itu sebelum keputusan mesyuarat diangkat ke Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“NADMA akan memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memutuskan perlu diisytiharkan darurat atau sebaliknya. Ini kerana setelah darurat diisytiharkan, semua aset serta peruntukan akan diuruskan oleh Persekutuan,” ujarnya.
Mengulas mengenai isu siren amaran yang berbunyi beberapa kali hingga tular di media sosial, Ab. Pattah menjelaskan, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan ia berpunca daripada sedikit gangguan teknikal.
“Amaran peringkat bahaya memang berlaku dan siren akan berbunyi secara automatik apabila paras air sungai mencecah peringkat bahaya. Namun kebiasaannya ia hanya berbunyi sekali atau dua kali, bukan lebih tiga kali sepertimana berlaku hari ini.
“Oleh itu orang ramai tidak perlu panik kerana keadaan masih terkawal tetapi mesti terus berjaga-jaga berikutan paras air masih dalam trend menaik dan kita baru berdepan gelombang pertama tengkujuh,” ujarnya.
Ab. Pattah turut berharap orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai situasi banjir dalam media sosial atau mana-mana saluran, termasuk gambar atau video paras air banjir menyamai bumbung kediaman penduduk yang dikesan bukan berlaku di Kelantan.-UTUSAN