BACHOK: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terpaksa menghentikan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Mesira di sini hari ini selepas kawasan itu ditenggelami banjir.
Jabatan Korporat AKSB dalam satu kenyataan berkata, keadaan itu menyebabkan 1,300 pengguna terjejas meliputi Teluk Mesira, Taman SPP, Kampung Jembal, Tok Jawa, Budi, Pintu Gerbang, Wakaf Zin, Desa Kerian, Dusun Durian, Chicha Menyabung dan
Gajah Mati.
Menurutnya, khidmat lori tangki akan digunakan buat sementara waktu bertujuan membantu pengguna terjejas.
“AKSB melalui PINTAS juga akan membuat pemakluman kepada pengguna terlibat melalui sistem infoblast yang akan dikemaskini dari masa ke semasa,” katanya.
Jabatan Korporat AKSB memberitahu, selain itu memaklumat tersebut akan turut dimaklumkan menerusi laman sesawang www.airkelantan.com.my,
aplikasi MyAKSB, Facebook dan Instagram.
Katanya, sebarang aduan boleh dibuat menerusi PINTAS di talian 15777.-UTUSAN