TAMPIN: Jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Negeri Sembilan bagi menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas banjir kini bertambah kepada 20 buah.
Setakat pukul 4.30 petang ini, seramai 1,694 mangsa banjir daripada 461 keluarga kini berada di kesemua PPS yang dibuka di empat buah daerah di negeri ini yang terjejas banjir susulan hujan berterusan sejak semalam.
Menurut laman sesawang Info Bencana JKM, sebanyak 11 PPS telah dibuka di daerah Tampin dengan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Kelamah menyaksikan jumlah mangsa paling ramai iaitu 812 orang.
Sebanyak empat buah PPS masing-masing telah dibuka di daerah Kuala Pilah dan Jempol dengan seramai 222 orang mangsa ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Dangi, Johol manakala seramai 112 orang berada di SK Rompin, Jempol.
Sementara itu, sebuah PPS turut dibuka di daerah Port Dickson iaitu di Balai Raya Kampung Permatang Pasir, Linggi yang menempatkan seramai 18 orang mangsa daripada lima buah keluarga.-UTUSAN.