Banjir: Dua PPS dibuka di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Banjir: Dua PPS dibuka di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Sebanyak dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini hari ini melibatkan dua daerah susulan banjir selepas hujan lebat dan berterusan berlaku semalam.

Dua buah PPS tersebut adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gedok, Gemencheh, Tampin dan di Dewan Orang Ramai Dangi, Johol, Kuala Pilah.

Menurut laman sesawang Info Bencana JKM, setakat pukul 8.12 pagi tadi, seramai 19 mangsa melibatkan empat buah keluarga ditempatkan di PPS SK Gedok.

Sementara itu sebanyak 10 buah keluarga melibatkan keseluruhan 44 orang mangsa kini berlindung PPS Dewan Orang Ramai Dangi.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Fadhil Hassan, PPS SK Gedok yang dibuka pada pukul 12 tengah malam tadi menempatkan mangsa di sekitar Kampung Tengah dan Gedok.

“Kami masih memantau keadaan air berikutan arus air sungai kini mula melimpah di Kampung Sungai Dua dan Sungai Kelamah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar pula berkata, misi bantuan banjir dilaksanakan pagi ini dengan kerjasama Majlis Daerah Tampin, pasukan pengakap serta sukarelawan.

“Lebih 50 orang berjaya dikumpulkan dan dipecahkan ke beberapa lokasi di sekitar pekan Gemencheh termasuk Taman Muhibbah, Bukit Rokan, Kampung Tengah dan Kampung Gedok.

“Dalam kejadian ini dianggarkan lebih 30 buah rumah di sekitar DUN ini dan sebuah sekolah di Bukit Rokan terjejas banjir. Data tepat rumah yang terjejas bagaimanapun masih lagi belum diperoleh,” katanya.

Sementara itu, di Kuala Pilah, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah, Leftenan Mohamad Ghazali Abd Rahim berkata, PPS yang dibuka di Dewan Orang Ramai Dangi adalah susulan kejadian banjir yang berlaku di sekitar kawasan Johol.

“Kejadian berlaku berpunca dari hujan lebat yang berterusan pada pukul 4 petang semalam sehingga mengakibatkan limpahan air sungai. Agensi penyelamat telah menjalankan satu operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke PPS, malam tadi,” katanya.UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya