Banjir di dataran Kampung Bantal, Ulu Tembeling surut, penduduk tetap waspada - Utusan Malaysia

Banjir di dataran Kampung Bantal, Ulu Tembeling surut, penduduk tetap waspada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Keadaan banjir di dataran perniagaan di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini mula surut selepas kira-kira sembilan jam air Sungai Tembeling melimpah masuk ke kawasan tersebut.

Menurut sumber penduduk Kampung Bantal, air mulai surut kira-kira pukul 12.30 pagi hari ini dan keadaan di dataran perniagaan itu kembali pulih, manakala aliran Sungai Tembeling belum surut berbanding sebelum ini malahan arus masih deras.

Kejadian banjir di dataran perniagaan kampung itu bermula kira-kira pukul 5 petang semalam dan susulan itu siren amaran Jabatan Pengairan Saliran (JPS) berbunyi meminta penduduk berwaspada kerana paras air sudah mencatat aras bahaya.

Ekoran bunyi siren berkenaan, kebanyakan pemilik premis kedai kopi dan makanan sudah menutup operasi dan meletakkan peralatan berniaga ke tempat tinggi kecuali beberapa buah premis dan kediaman penduduk di pesisir sungai itu yang sudah pun dipasang tong pelampung.

Penduduk Kampung Bantal, Mohd. Zaimi Ali, 59, berkata, seperti tahun lalu, air banjir akan berulang melimpah masuk ke dataran itu memandangkan keadaan cuaca tidak menentu dan air Sungai Tembeling belum surut sepenuhnya.

“Tahun lalu, dua kali air melimpah masuk ke dataran ini dan kemudiannya dalam tempoh antara lapan hingga 12 jam, banjir akan surut semula. Penduduk di sini sudah kerap kali berdepan senario ini dan sering berwaspada serta turut mematuhi arahan pihak berkuasa kerana ketika air Sungai Tembeling naik mendadak,” katanya di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini.

Ujarnya, memandangkan cuaca musim tengkujuh tidak menentu dan hujan masih turun di kawasan ulu Sungai Sepia yang melalui Kampung Gusai dan bertembung dengan arus Sungai Tembeling kemungkinan banjir akan memenuhi dataran itu semula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN