TAMPIN: Lima sekeluarga berusia dalam lingkungan empat hingga 40-an berhadapan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras di Jalan Bukit Rokan, Gemencheh, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 12 tengah malam tadi memaklumkan kejadian menimpa keluarga tersebut yang dalam perjalanan dari Jelai ke Bukit Rokan di sini.
Bagaimanapun menurutnya, pasukan bomba berhadapan dengan cabaran air terlalu deras dan dalam serta terpaksa berpatah menggunakan laluan lain yang lebih selamat bagi mencari kenderaan yang dihanyutkan arus deras itu.
“Kami berjaya menyelamatkan empat ahli keluarga termasuk tiga anak pasangan berkenaan yang paling kecil iaitu kanak-kanak perempuan berusiaa empat tahun di atas kereta kira-kira pukul 3 pagi.
“Manakala bapa pula sudah hanyut ke tengah dan pasukan berjaya menemukan mangsa dalam keadaan selamat kira-kira pukul 4.30 pagi. Kesemua mangsa dikejarkan ke klinik kesihatan berhampiran bagi rawatan lanjut,” katanya.-UTUSAN.